Cebisan dari kenyataan seorang majikan yang telah berkongsi pengalaman melayani kerenah pembantu rumah di akhbar Utusan Malaysia. Apa yang diperkatakan itu adalah benar. Pembantu rumah adalah juga insan biasa yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Soal timbang-rasa perlu ada dalam diri majikan. Kisah sebegini akan dimuatkan di blog ini sebagai tips berguna buat para majikan. Majikan perlulah melayan pembantu rumah sebagai manusia.
________________________________________________
SEMALAM genap seminggu pembantu rumah yang sudah lebih 10 tahun berkhidmat dengan keluarga penulis pulang ke kampung halamannya di Lombok, Indonesia.
Bukan pulang bercuti tetapi balik terus.
Setelah sedekad menjadi pembantu di rumah kami, memang banyak jasanya. Dari segi membasuh, mengemas dan lebih penting, menjaga anak-anak serta menunggu rumah ketika kami suami isteri keluar bekerja. Sebab itu, penulis gunakan istilah berkhidmat dan bukannya bekerja.
Tambahan pula pembantu rumah atau juga disebut amah, berbeza daripada pekerjaan lain.
Mereka tinggal dengan kita, makan makanan yang sama dengan kita, duduk setikar sebantal dengan anak-anak kita, menonton program kegemarannya di peti televisyen kita, pendek kata sudah menjadi sebahagian isi rumah dan umpama ahli keluarga walaupun sebenarnya tidak - kerana kita bayar upah kerja-kerja yang dilakukan mereka.
Ramai yang bertanya bagaimana penulis boleh bertahan dengan seorang pembantu rumah yang sama lebih 10 tahun? Kenalan kurang rapat bertanya, "Bagus sangatkah dia?" Bagi rakan rapat dan saudara mara yang kenal fiil pembantu rumah penulis pula sambil mengerut kening bertanya, "Engkau masih pakai orang yang sama? Aku rasa engkau dah kena guna-guna" dan bermacam-macam lagi andaian.
Hakikatnya, dia bukan pembantu rumah yang sempurna. Nak dikatakan rumah bersinar-sinar dikemas dan dibersihkannya, tidak juga. Nak digelarkan amah yang mendengar kata sangat pun tidak kerana sekali-sekala dia ada mengangkat suara.
Yang pastinya tidak ada hari yang berlalu tanpa kerenahnya - baik yang menyakitkan hati, melucukan, malah ada yang tak terfikir dek akal kita.
Jadi kenapa keluarga penulis kekal menggunakan khidmatnya selama lebih 10 tahun?
Jawapannya bagi penulis, pembantu rumah ialah manusia. Sebagaimana dia, kami sebagai majikan pun tidak sempurna.
Sayangnya ada majikan yang berkelulusan tinggi dan berjawatan, mengharapkan pembantu rumahnya berfikiran macam dia.
Jika dia agak lembab menerima arahan, tidak sepatutnya kita cepat marah atau naik angin pula.
Sebab mungkin satu; dia tak faham bahasa yang kita gunakan (maklumlah rakyat Malaysia amat gemar mencampuradukkan dengan bahasa Inggeris), dua; dia faham arahan itu tapi tak tahu hendak melaksanakannya (sebab macam bekas pembantu rumah penulis, di kampungnya tiada elektrik jadi ketika mula-mula sampai, dia kurang mahir menggunakannya), ketiga; dia faham arahan, tahu menggunakan peralatan elektrik tetapi jenisnya berbeza atau terlalu canggih berbanding dengan yang diajar oleh agensi pembantu rumah (misalnya seterika stim atau mesin basuh baju digital).
Di sini apa yang dituntut, tentulah sikap timbang rasa majikan. Itu jugalah jawapan penulis ketika ditanya rakan-rakan, bagaimana boleh bertahan selama lebih 10 tahun dengan seorang pembantu rumah.
Namun perumpamaan menyebut, manusia ini rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Tahap kesabaran penulis mungkin lebih sedikit daripada orang lain.
Sebab itu, apabila membaca kisah pembantu rumah didera sehingga birat, koma malah ada yang menemui ajal, penulis tak terkata. Sebab apa yang dilakukan itu tak terfikir dek akal yang siuman.
Memang diakui kadang-kala kerenah pembantu rumah membuatkan hati kita libang libu dan terasa macam hendak ditangan-tangankan sahaja - namun itu hanya dalam kotak fikiran, isyaratnya tidak dihantar untuk direalisasikan, sebab kita manusia yang berakal.
Penulis kebetulan berada di Kemboja, ketika berita kematian amah dari negara itu akibat didera dan kebuluran tidak diberi makan oleh majikannya menghiasi muka depan akhbar tempatan di negara Indochina tersebut awal bulan ini.
Malunya tidak tahu hendak disorokkan muka apabila ditanya oleh orang Kemboja - adakah orang Malaysia memang suka mendera?
Penulis jelaskan kes itu terpencil. Hakikatnya, ribuan majikan rakyat Malaysia memberi layanan baik kepada pembantu rumah mereka. Malangnya 'kerana seekor lembu bawa lumpur, habis semuanya terpalit'.
Lebih memburukkan keadaan apabila ada pula pihak cuba menjuarai isu ini dengan menokok-tambah rencah cerita yang akhirnya gara-gara kes terpencil seperti itu, kerajaan Kemboja membekukan penghantaran pembantu rumahnya ke Malaysia.
Memandangkan kumpulan baru pembantu rumah dari Indonesia pun masih 'terkandas' walaupun larangan pembekuan penghantaran sudah ditarik balik, bermakna majikan di negara ini tidak boleh mengharapkan untuk mendapat khidmat mereka dari dua negara berkenaan.
Ansari Haroun, warga Kemboja daripada keturunan Melayu Champa yang penulis kenali ketika berada di negara itu mempunyai analisisnya sendiri kenapa wanita negaranya tidak sesuai menjadi pembantu rumah di Malaysia. "Ini kerana sifat semulajadi orang Kemboja memang cepat merajuk, tidak suka disuruh-suruh selain tahap pendidikan yang agak rendah," katanya.
Bagaimanapun, penulis masih merasakan mereka alternatif paling hampir bagi menggantikan pembantu rumah dari Indonesia terutama dalam kalangan masyarakat Melayu Champa. Syaratnya, letakkan mereka di rumah majikan Melayu kerana mereka beragama Islam dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
Penulis fikir tidak salah jika penetapan majikan-amah seboleh mungkin dibuat mengikut kesesuaian latar agama, bahasa dan budaya, bagi mengelak kes-kes tidak diingini berulang. Tidak boleh tidak, kita perlu akui terdapat jurang perbezaan yang tidak boleh ditampal dengan mudah. Antaranya dalam soal sensitiviti makanan dan ibadat.
Sedangkan yang seagama dan hampir sama bahasa pun sukar untuk mencipta keserasian, bayangkan pula yang berbeza latar kedua-duanya.
Bekas pembantu rumah penulis kini tentu cuba menyesuaikan diri tinggal di rumahnya. Rumah batu itu dibina hasil titik peluhnya bekerja di rantau orang yang dititip ke kampung setiap bulan. Hasil duit gajinya juga, rumahnya sudah mempunyai bekalan elektrik. Ketika menghantarnya berlepas pulang menaiki pesawat di KLIA, bagasinya penuh dengan barangan elektrik.
Penulis percaya ramai lagi yang seangkatan dengan bekas pembantu rumah penulis itu. Mereka tentunya tidak menolak hakikat bahawa telah berjaya meningkatkan taraf hidup keluarga dengan mencari rezeki di sini.
Dalam hal ini, majikan dan pembantu rumah sama-sama berjasa. Tidak usahlah salah satu pihak cuba memberi tekanan kepada pihak satu lagi kerana hakikatnya masing-masing tahu yang mereka saling memerlukan.
No comments:
Post a Comment
Anda mempunyai sesuatu untuk saya. Sila nyatakan komen membina anda agar ianya bermanfaat untuk kita semua. Terima kasih.