Gantung Amah Di Kipas Siling
hadzlihady@hmetro.com.my
AMPANG JAYA: Seorang majikan tidak berhati
perut apabila sanggup mengikat kaki dan tangan pembantu rumahnya sebelum
digantung di kipas siling semata-mata untuk melepaskan geram. Mangsa yang bertubuh kecil itu dibiarkan berpusing di kipas siling terbabit sehingga pening.
‘Adegan’ seksaan yang tidak masuk akal itu menjadi tontonan keluarga majikannya. Lebih dahsyat, mangsa disimbah air panas hingga menyebabkan dia melecur di badan selain dipukul tanpa belas kasihan. Bagaimanapun, mangsa, seorang gadis berusia
20-an mengambil kesempatan awal pagi Rabu lalu untuk melarikan diri
kerana tidak tahan menanggung penderitaan diseksa majikannya yang juga
seorang ahli perniagaan. Selepas meloloskan diri, pembantu rumah itu
ditemui dalam keadaan tidak bermaya oleh orang awam di tepi jalan di
Kampung Melayu, Ampang di sini. Dia dibawa ke Kedutaan Indonesia sebelum
membuat laporan di balai polis dan menjalani pemeriksaan dan rawatan di
Hospital Ampang.
Menurut sumber, berdasarkan laporan polis,
pembantu rumah terbabit mendakwa disimbah air panas, dipukul dan
diperlakukan seperti haiwan apabila kaki dan tangannya diikat sebelum
digantung di kipas siling oleh majikannya.
“Amah terbabit yang ditemani pihak kedutaan
dibawa ke Hospital Ampang. Selepas menerima rawatan selama dua hari di
hospital, dia kini tinggal bersama pihak kedutaan,” katanya ketika
dihubungi, semalam.
Katanya, majikan terbabit melarikan diri
bersama ahli keluarganya selepas menyedari kehilangan pembantu rumah itu
kerana bimbang ditahan polis.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah
Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi
mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Polis masih mencari majikan terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.
Kejadian pembantu rumah didera sering
dilaporkan akhbar ini, antaranya pada 17 Jun lalu mengenai kes seorang
amah dirantai pada kandang kucing untuk mengelak melarikan diri.
Dia yang baru sebulan bekerja dengan keluarga
majikannya dijadikan hamba seks untuk memuaskan nafsu lelaki ada kaitan
dengan majikannya.
No comments:
Post a Comment
Anda mempunyai sesuatu untuk saya. Sila nyatakan komen membina anda agar ianya bermanfaat untuk kita semua. Terima kasih.