Breaking

Wednesday

Tips Memelihara Hubungan Yang Baik Dengan Pembantu Rumah

Menjadi seorang majikan yang baik tidaklah sesusah mana. Anda cuma perlu mengambilkira tips-tips yang dinyatakan dibawah untuk menjadi seorang majikan yang baik kepada pembantu rumah.


Jadikan mereka sebahagian dari keluarga anda
Bawa mereka pergi bercuti bersama keluarga anda. Tentu mereka merasakan bahawa mereka amat dihargai majikan. Jadikan ini sebagai sebahagian dari bonus tahunan mereka. Saya akan meletakkan jumlah perbelanjaan percutian ini didalam dokumen penyata kewangan mereka yang saya sediakan apabila tamat kontrak. Sekurang-kurangnya mereka boleh menceritakan betapa baiknya majikan mereka apabila pulang ke kampung. Bawa juga mereka pergi makan di restoran-restoran atau hotel-hotel apabila ada kelapangan dan kemampuan. Apabila pulang ke kampung anda, bawa mereka bersama dan boleh juga mereka beramah mesra dengan ibubapa anda. Dengan cara ini pembantu rumah akan merasakan mereka sebahagian dari keluarga anda.



Makanan Yang Dimakan Pembantu Rumah
Berikan mereka makan dari jenis yang sama dimakan oleh majikan. Ini dapat membangkitkan rasa hormat mereka kepada majikan kerana mereka akan berkata kepada diri mereka sendiri bahawa majikan mengambil berat tentang pemakanan mereka dan tidak membeza-bezakan status mereka sebagai pembantu rumah dalam hal remeh-temeh seperti makanan dan minuman. Ada beberapa majikan yang saya perhatikan apabila makan di restoran, mereka mengasingkan mereka dari meja makan majikan. Ini juga tidak perlu dilakukan dikhalayak ramai. Memadai jika amalan ini dipraktikkan di rumah sahaja.

Pakaian Yang Dipakai Pembantu Rumah
Mahukah anda melihat mereka memakai pakaian lusuh apabila keluar bersiar-siar bersama anda sekeluarga di pusat membeli-belah? Pastikan mereka memakai pakaian yang sesuai apabila keluar bersama keluarga anda. Belikan mereka pakaian baru jika perlu. Menjelang hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, belikan sekurang-kurangnya sepasang baju kurung buat mereka. Tentu mereka gembira dengan pemberian ini kerana majikan mengambil berat akan kebajikan mereka. Pembantu rumah adalah wanita dan umum sudah mengetahui bahawa wanita sememangnya suka akan hiasan diri. Betul ke?

Apabila Mereka Tidak Sihat
Adakalanya mereka jatuh sakit seperti demam dan sebagainya. Kini, tibalah masanya anda sebagai majikan untuk memastikan pekerja anda mendapat rawatan dan rehat yang sewajarnya. Bawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan awal. Jika perlu, majikan mengambil cuti kecemasan untuk mengambil alih tugas pembantu rumah dan berikan mereka rehat. Lebih baik mereka rehat sehari dan kembali sehat hari berikutnya daripada mereka sakit berhari-hari atau minggu mencecah hingga seminggu sakit. Apabila anda sakit, apakah perasaan anda apabila terdapat suasana hiruk-pikuk anak-anak kecil yang menangis atau bergaduh. Kebanyakan dari kita tidak akan dapat menahan rasa marah. Betul tak? Bayangkan kalau pembantu rumah tidak sihat dan anda suami-isteri keluar bekerja? 
Formula mudah => badan tidak sihat + suasana bising = marah.
Jangan letakkan risiko ini pada anak-anak anda!

Cuti Rehat
Perkara ini memang agak subjektif. Telah lama menjadi satu isu diantara majikan dan pembantu rumah Muslim. Jika pembantu rumah bukan Islam, tidaklah menjadi isu sangat sebab mereka perlukan cuti hari Ahad untuk pergi ke gereja atau kuil untuk upacara sembanhyang. Tapi bagi pembantu rumah Muslim, mereka tidak perlu pergi ke masjid untuk melakukan upacara keagamaan. Mereka boleh melakukannya di rumah majikan. Sebenarnya banyak yang buruk daripada yang baik jika majikan membenarkan pembantu rumah keluar bersiar-siar di bandar pada hujung minggu. Ramai di antara pembantu rumah yang asalnya memang baik tetapi menjadi sebaliknya apabila mereka mula bertemu dengan rakan-rakan lelaki mahupun wanita yang mempunyai niat jahat terhadap mereka. Golongan inilah yang akan mempengaruhi pembantu rumah anda dan akhirnya mereka bersikap negatif. Lebih memburukkan keadaan jika mereka mula menjalin hubungan cinta dan seterusnya berakhir ke ranjang. Mahukah anda melihat bilik tidur anda sebagai ranjang asmara oleh pembantu rumah anda dan kekasihnya. Apaaaaa????????
Oleh yang demikian, apa yang saya lakukan ialah kebiasaannya saya kurangkan kerja mereka pada hari minggu supaya mereka dapat lebih masa berehat. Bidang tugasan pada hari minggu lebih kepada cuci pinggan mangkuk, potong sayur, ikan dan yang seumpamanya. Ambil tanggungjawab menjada anak-anak anda apabila tiba hari anda tidak bekerja. Jangan biarkan anak-anak kecil berterusan bersama pembantu rumah, bimbang nanti anda pula yang akan dipanggil "bibik" oleh baby anda.

Kawal Pembantu Rumah Anda
Akhir sekali, kawal pembantu rumah anda, bukannya mereka mengawal anda. Sekiranya ada kesilapan yang dilakukan oleh pembantu rumah, tegurlah dengan cara berhemah. Betulkan kesilapan mereka dan berikan peringatan bahawa kesilapan sama jangan diulang. Ada pembantu rumah yang tidak tahu menggunakan peralatan elektrik walaupun pihak agensi mengatakan mereka telah dilatih secukupnya. Bersabarlah dan berikan mereka sedikit masa. Perlu diketahui bahawa mereka hanya berpendidikan rendah setakat sekolah dasar (SD) yang setara dengan sekolah rendah di Malaysia. Mana-mana pembantu rumah yang berpendidikan setara dengan sekolah menengah di Malaysia, kebiasaannya akan bekerja sebagai pembantu rumah di negara-negara yang menawarkan gaji yang lebih tinggi seperti Hong Kong, Taiwan dan Singapura. Tetapi mereka juga harus ingat, lebih tinggi gajinya, lebih tinggi pula pengorbanannya seperti kemungkinan memandikan anjing, memasak babi atau memasak apa jua makanan yang diharamkan oleh Islam. Selain itu mereka juga mungkin sukar mengerjakan amalan ibadat sebagai umat Islam. Jangan kerana wang, itu semua dilupakan.

Ringkasnya, layanilah pembantu rumah anda dengan baik yang mengambilkira kepentingan dan kemahuan kedua-dua belah pihak. Jika objektif ini dapat dicapai, saya percaya pembantu rumah akan mampu bekerja dengan lebih baik bersama majikan. Anda juga sebagai majikan sudah tentu mengharapkan majikan di tempat anda bekerja memberikan layanan yang baik terhadap anda. Bukankah begitu?
________________________________________________________
Semoga apa yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Dapatkan sebuah ebook penuh informasi berkaitan pembantu rumah. Apakah isi kandungan ebook tersebut? Jom saksikan di Panduan Pengambilan Pembantu Rumah.

No comments:

Post a Comment

Anda mempunyai sesuatu untuk saya. Sila nyatakan komen membina anda agar ianya bermanfaat untuk kita semua. Terima kasih.