Breaking

Tuesday

Menangani Pembantu Rumah

Rasa terpanggil pula untuk berkongsi pengalaman saya dalam menangani pembantu rumah. Pembantu rumah adalah insan biasa yang perlu dilayani dengan baik. Jangan sesekali memandang rendah terhadap mereka.
  • Setelah mereka menjejakkan kaki ke rumah anda, izinkan mereka menghubungi keluarga mereka di kampung agar kedua-dua belah pihak iaitu pembantu rumah dan keluarganya dapat melepaskan rasa runsing. Kebanyakan pembantu rumah melalui tempoh pengembaraan yang panjang sejak dari mula melangkah keluar dari rumah di kampung. Pernah pembantu rumah saya menceritakan dari kampung mengambil masa 2 hari untuk tiba di penampungan (asrama agensi) dengan jalan darat. Sudah tentu sub-ejen akan memilih jalan darat untuk menjimatkan kos. Belikan kad telefon yang menggunakan teknologi Voice Over IP (VOIP) seperti iTalk. Saya tidak mahu bercerita lanjut tentang VOIP sebab ianya agak teknikal. Apa yang perlu ada fahami ialah kad telefon jenis ini memang murah caj panggilannya tetapi ada sedikit kekurangan dari segi kualiti bunyi suara. Kalau nasib tidak baik, suara kedengaran kurang jelas.
  • Pastikan mereka mempunyai masa rehat yang memadai sepertimana anda juga diberikan waktu rehat sejam di pejabat, begitu jugalah dengan mereka yang memerlukan masa rehat untuk solat. Berdosa jika majikan tidak membenarkan pembantu rumah bersolat, berpuasa asalkan tidak melanggar hukum agama.

Menangani Pembantu Rumah

  • Anggaplah pembantu rumah sebahagian dari keluarga anda TETAPI mesti ada batasannya. Bimbang nanti jika tiada ketegasan dari majikan, mereka mula meminta-minta. Majikan yang kurang, mereka pula yang berlebih-lebih. Maksudnya di sini ialah, sebagai contoh, jika anda ke pasar malam membeli juadah, eloklah rasanya belikan sebungkus soto atau bakso buat mereka. Dengan cara ini mereka merasakan mereka dihargai.
tekanan perasaan
  • Jangan! Jangan sesekali membawa tekanan kerja di pejabat dan melepaskan tekanan tersebut kepada pembantu rumah. Mereka bukan "punching bag" untuk anda melepaskan geram. Mereka tiada kena-mengena dengan masalah anda di pejabat. Sebaik-baiknya jika anda tertekan, bila pulang ke rumah, terus mandi, rehat dan barulah turun untuk makan malam. Jangan sesekali berlegar-legar di ruang tamu atau di dapur, bimbang nanti jika mata melihat keadaan rumah yang berselerak akan menaikkan rasa marah, lalu pembantu rumah manjadi mangsa. Mungkin pembantu rumah sudah mengemas rumah tetapi apabila anak-anak pulang dari sekolah, mereka mula menyelerakkan rumah. Pembantu rumah pula sibuk memasak di dapur dan tidak sempat lagi mengemas ruang tamu. Perkara sebegini nampak kecil tetapi memberikan impak yang besar sekiranya terjadi. Jangan mengherdik tetapi tegur secara baik dan berikan mereka peluang untuk membaiki kesilapan. Itulah yang paling penting. Pernah isteri saya berkata "abang ni...sayang sangat kat bibik". Adoyaiiii...bukan saya "sayang" kat bibik TETAPI menjaga kebajikan pekerja saya. Bercakap tentang perkara ini, saya ingin menarik perhatian buat para suami agar lebih vokal terhadap isteri. Selalunyalah...selalunyalah, pembantu rumah tidak suka bekerja di rumah majikan disebabkan isteri majikan. Isteri majikan lebih cerewet dalam hal-hal di rumah. Sebab itu saya sarankan suami kena lebih vokal dalam mengawal isteri. Nasihatkan isteri agar berlebih-kurang dengan pembantu rumah, pasti pembantu rumah akan kekal lama. Agaknya ramai kaum hawa yang tidak suka akan tulisan saya kali ini.
  • Kenalkan pembantu rumah dengan jiran terdekat. Ini dapat memudahkan jiran memantau pergerakan pembantu rumah anda. Itu yang saya lakukan. Saya mengingatkan pembantu rumah saya bahawa dia tidak boleh keluar rumah walaupun ke kedai runcit. Sekiranya ingin membeli sesuatu, dia perlu memberitahu saya dan saya akan membelikan barangan tersebut untuk dia. Pernah pembantu rumah saya melanggar arahan tersebut dan saya menerima laporan dari jiran saya, apalagi terus saya dengan tegas meminta dia untuk tidak mengulangi perkara yang sama.
Ringkasnya majikan perlu mengamalkan sikap dalam ketegasan ada kelembutan dan sentiasa peka dalam menangani pembantu rumah. Saya pernah juga menulis topik berkaitan perkara yang sama - Tips memelihara hubungan yang baik dengan pembantu rumah.

No comments:

Post a Comment

Anda mempunyai sesuatu untuk saya. Sila nyatakan komen membina anda agar ianya bermanfaat untuk kita semua. Terima kasih.