Breaking

Friday

Cara Mendapatkan Pembantu Rumah

Bermacam cara mendapatkan pembantu rumah, antaranya :
  • mendapatkan pembantu rumah dari ejen freelance di Malaysia
  • mendapatkan pembantu rumah dari syarikat agensi di Malaysia
  • mendapatkan pembantu rumah dari ejen freelance di Indonesia
  • mendapatkan pembantu rumah dari syarikat agensi di Indonesia
  • mendapatkan pembantu rumah dari warga Indonesia yang telah ada di Malaysia.
Dari 4 sumber di atas, mendapatkan pembantu rumah terus dari ejen freelance di Indonesia lebih murah kerana kos tersebut tidak memerlukan campurtangan banyak pihak. Namun terdapat risikonya jika menggunakan saluran ini iaitu :

  • wang deposit telah dikirim ke Indonesia tetapi pembantu rumah tidak datang ke Malaysia seperti yang dijanjikan. Ejen mendiamkan diri dengan menukar nombor telefon setelah menerima deposit.
  • pembantu rumah menipu ejen dengan masuk ke Malaysia tetapi ditunggu oleh teman lelaki di pintu masuk negara. Majikan yang menunggu di lapangan terbang atau terminal feri pulang hampa.
  • dalam tempoh jaminan, pembantu rumah bermasalah dan persetujuan oleh ejen untuk memberikan pembantu rumah gantian. Ada majikan yang masih menggaji pembantu rumah yang bermasalah sehingga pembantu rumah yang baru tiba. Namun, kebanyakannya lebih rela menghantar pembantu rumah tersebut pulang ke negara asalnya kerana dikhuatiri mereka mula buat perangai dan ini sudah tentu membahayakan anak-anak majikan yang masih kecil. Apabila ini berlaku, atas janji yang telah dibuat oleh ejen, majikan menunggu ketibaan pembantu rumah yang baru. Kebanyakannya ibarat menungga bulan jatuh ke riba. Hari demi hari berlalu dan memang payah untuk ejen memulangkan 100% wang yang telah diberikan. Jika dapat 50% pun, itu sudah dikira amat bernasib baik.

Mengikut pengamatan saya, rata-rata majikan memilih untuk mendapatkan pembantu rumah dari ejen freelance di Malaysia. Ini disebabkan oleh kos yang dikenakan adalah murah dan majikan berasa lebih selesa berurusan dengan ejen freelance yang ada di Malaysia. Setidak-tidaknya jika berlaku sesuatu perkara berkaitan pembantu rumah, dapatlah mereka bertemu dengan ejen untuk berbincang. Saluran ini juga berisiko tinggi. Ejen di Malaysia sebenarnya mendapat keuntungan yang rendah tetapi mereka meletakkan diri mereka pada risiko yang tinggi. Ejen pembantu rumah di Malaysia menerima wang dari majikan dan ejen mengatur kemasukan pembantu rumah dengan ejen di Indonesia. Adakalanya berlaku kes seperti yang saya sebutkan di bahagian risiko mengambil pembantu rumah dengan ejen freelance di Indonesia. Risikonya sama sahaja, ejen di Indonesia yang bermasalah, ejen di Malaysia pula yang menerima akibatnya. Ejen di Malaysia terpaksa berhadapan dengan majikan. Sebagai contoh jika kos pembantu rumah ialah RM8000, deposit RM4000 diserahkan kepada ejen Malaysia. Dari jumlah itu, berkemungkinan RM3000 dibayar kepada ejen Indonesia. Selang beberapa minggu yang dijanjikan, masih lagi tiada kemunculan pembantu rumah dan majikan menuntut wang deposit dipulangkan. Adakah ejen Malaysia sanggup serahkan RM4000 kepada majikan, di mana RM3000 adalah dari duit poket ejen Malaysia? Ramai ejen Malaysia yang tidak sanggup buat begitu. Mereka juga sebenarnya tahu bahawa ejen Indonesia juga amat liat untuk memulangkan wang deposit. Kebiasaannya, ejen Malaysia akan memulangkan sebahagian wang deposit di mana wang yang dipulangkan itu adalah wang komisyen yang diperolehi. Mereka sanggup tidak untung asalkan tidak rugi. Akhirnya dari RM4000 yang dikeluarkan, hanya RM1000 sahaja yang diterima majikan. Majikan rugi RM3000 bulat-bulat tanpa dapat melihat kelibat pembantu rumah di rumah mereka. Saya antara majikan yang pernah melalui kes yang sebegitu.

Sekiranya majikan memilih untuk mendapatkan maid dari syarikat agensi di Indonesia, risiko seperti di atas dapat dikurangkan kerana syarikat agensi mempunyai pejabat mereka yang sah. Ini memudahkan majikan berkomunikasi dengan pegawai yang menguruskan kemasukan maid. Namun begitu, jika keadaan tidak seperti yang diharapkan sudah tentu majikan terpaksa hadir sendiri ke pejabat mereka. Sanggupkah majikan terbang ke Indonesia untuk tujuan tersebut. Berapa pula kos penerbangan majikan untuk ke sana? Tambahan pula, kos pengambilan maid dari agensi agak tinggi.

Cara yang berikutnya kurang popular iaitu mengambil maid dari syarikat agensi di Malaysia. Puncanya ialah kos pengambilan yang terlalu tinggi sehinggakan majikan rasa tidak berbaloi sekiranya selepas tempoh jaminan, maid lari dari rumah majikan. Meloponglah mulut majikan memikirkan belasan ribu yang telah habis dibelanjakan untuk mendapatkan maid tersebut.



Cara yang terakhir ini dikira amat bertuah sekiranya majikan dapat menemui calon pembantu rumah yang telah ada di Malaysia tanpa melalui ejen. Adakalanya calon maid menziarahi keluarga mereka di sini dan kemudian berhasrat untuk mencari peluang kerja sebagai maid. Majikan hanya perlu membayar sedikit imbuhan kepada keluarga maid dan buat proses legalisasi di Jabatan Imigresen Malaysia. Dengan kemunculan Sistem Maid Online, urusan melegalisasikan calon maid menjadi amat mudah. Bagaimana menguruskannya? 

No comments:

Post a Comment

Anda mempunyai sesuatu untuk saya. Sila nyatakan komen membina anda agar ianya bermanfaat untuk kita semua. Terima kasih.