Breaking

Wednesday

Tindakan Ke Atas Majikan Yang Melindungi PATI

Baru-baru ini Immigresen Malaysia telah memutuskan untuk membekukan aset-aset majikan. Tindakan drastik ini akan mula berkuatkuasa pada bulan Okober 2016. Awas majikan! Jika anda sedang melindungi PATI, anda perlu berusaha mendapatkan permit yang sah. Jangan biarkan diri anda dibelenggu kebimbangan. 

Pelancong yang bekerja di premis anda diklasifikasikan sebagai PATI setelah tamat tempoh 30 hari dari tarikh ketibaan di mana-mana pintu masuk ke Malaysia seperti di lapangan terbang dan terminal feri.





Berikut adalah petikan dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 13/9/2016
____________________________________________
SEPANG 13 Sept. - Jabatan Imigresen akan menguatkuasakan undang-undang pembekuan serta penyitaan terhadap aset atau akaun milik majikan industri yang melindungi pendatang asing tanpa izin bermula Oktober ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, langkah tersebut adalah selaras dengan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Seksyen 56 (1) Akta Imigresen 1959/63.

“Langkah ini bagi memastikan semua pihak terutama industri mematuhi undang-undang sedia ada melibatkan tempoh pasport, permit dan visa pekerja asing mereka.

“Ketika ini, kita ingin memberi masa kepada majikan untuk mendapatkan pendidikan dan kesedaran sewajarnya, sebelum tindakan penguatkuasaan diambil. Kita minta perkara ini diperluaskan oleh pihak media bagi memastikan majikan tidak tersentak dengan penguatkuasaan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Imigresen KLIA, Shamril Faizalis Shamsul Bahari dan Komandan depot, Thalhah Salleh.

Dalam pada itu, Mustafar memberitahu, pihaknya juga akan berbincang dengan beberapa agensi dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat Malaysia yang disekat ke luar negara.

Jelas beliau, agensi-agensi tersebut termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Jabatan Insolvensi.

“Kita sedar ada permasalahan berlaku apabila salah seorang daripada kumpulan penumpang yang hendak ke luar negara dise­kat atas sebab-sebab tertentu. Ini akan menyukarkan perjalanan mereka secara keseluruhan.

“Oleh itu, kita mahu meminta agensi-agensi tersebut menempatkan pegawai masing-masing di kaunter pelepasan lapangan terbang bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Berhubung masalah cip pasport baharu yang dikatakan tidak berfungsi di pagar automatik beberapa lapangan terbang, Mustafar berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan pihak pembekal berhubung perkara ber­kenaan.

“Perbincangan ini termasuk meminta pihak pembekal menem­patkan juruteknik mereka di kaunter-kaunter terlibat untuk menyediakan bantuan jika masalah tersebut berulang,” katanya.

1 comment:

Anda mempunyai sesuatu untuk saya. Sila nyatakan komen membina anda agar ianya bermanfaat untuk kita semua. Terima kasih.