Breaking

Wednesday

Berhenti Kerja Untuk Menjaga Anak

Bukan mudah mendapatkan pembantu rumah yang baik dari segi kualiti kerja dan mempunyai sikap yang terpuji. Sekiranya anda mempunyai seorang  pembantu rumah yang memenuhi kriteria di atas, sudah tentu anda tergolong dalam majikan yang amat beruntung. Namun demikian alangkah baiknya jika pembantu rumah tersebut mempunyai ilmu yang boleh dipraktikkan kepada anak-anak majikan, baik ilmu agama mahupun ilmu duniawi.  

Kebiasaannya mereka hanya mahir melakukan kerja-kerja fizikal bukannya kerja-kerja rohani. Inilah yang menjadi faktor utama kekurangan didikan rohani terhadap anak-anak yang ditinggalkan bersama pembantu rumah sewaktu majikan keluar bekerja. Secara puratanya majikan keluar dari rumah untuk mencari nafkah sekitar 12 jam. Banyak perkara berkaitan pendidikan yang boleh diterapkan ke atas jiwa anak-anak dalam tempoh tersebut. Alangkah indahnya jika anak-anak ini mendapat belaian dan didikan dari seorang ibu yang melahirkannya.


Dan bukan mudah pula bagi seseorang wanita membuat keputusan untuk berhenti kerja untuk menjaga anak di rumah. Persimpangan untuk memilih samada untuk terus bekerja atau berhenti kerja mungkin pernah terlintas difikiran anda. Berikut adalah beberapa aspek yang mampu membantu anda membuat keputusan yang agak sukar tetapi hasilnya mampu meneruskan kesinambungan generasi yang hebat.
  • Kekuatan Kewangan Keluarga
Ini merupakan elemen pertama yang perlu dinilai. Mampukah suami bekerja sendirian untuk menyara kos sara hidup?

  • Rezeki Kurniaan Allah swt.
Percaya kepada rezeki itu kurniaan Allah swt. Setiap anak itu membawa rezeki kepada keluarga. Usaha keras menjamin rezeki yang berterusan. Amalkan sikap jujur dan amanah dalam menjalankan tugas agar setiap sen yang masuk ke poket anda penuh dengan keberkatan.
  • Bersederhana Dalam Hidup
Menukar gaya hidup perlu dilakukan. Jika dulu pendapatan dari 2 punca tetapi kini hanya dari satu punca sahaja. Jika perlu buat persiapan untuk melupuskan hutang-piutang yang tidak penting seperti hutang peralatan elektrik, perabot, kad kredit. Lupuskan kad kredit yang boleh menjadi pemangkin untuk kita terus berbelanja dengan gelojoh.
Jika bersesuaian dengan anda, berpindah keluar dari kesibukan kota untuk memudahkan isteri mengurus rumahtangga seperti urusan menghantar anak ke sekolah, membeli barangan dapur dan sebagainya.
  • Melaksanakan Amanah Allah swt.
Ramai juga diluar sana yang masih belum dikurniakan anak dan sesungguhnya anak-anak itu adalah amanah yang diberikan kepada kita untuk dijaga dan diurus dengan baik. Anda mesti yakin dengan ketetapan ini.
  • Kesempurnaan Didikan Awal
Kanak-kanak mudah belajar sesuatu yang baru setiap hari. Bahkan kita sendiri pun sebenarnya belajar sesuatu yang baru setiap hari. Cuma bezanya kita akan menapis setiap perkara baru yang dipelajari. TETAPI kanak-kanak TIDAK akan menapis apa yang cuba dipelajarinya! Inilah risiko jika anak-anak tidak mendapat didikan awal dari orang yang melahirkannya.
Kesimpulannya, banyak perkara positif yang akan berlaku sekiranya seseorang itu berhenti kerja untuk menjaga anak. Anak-anak akan menjadi lebih akrab dengan insan yang mereka sayangi. Setiap detik merupakan detik indah buat mereka dan akan dikenang disepanjang hayat mereka.
Kami sayang ibu, mak, umi, mama... 
Kepada para suami pula, jika ingin memanjakan isteri, carilah pembantu rumah sambilan dihujung minggu untuk melakukan tugas-tugas berat seperti mencuci bilik mandi, menggosok baju, mencuci ruang car porch, mencuci tingkap, mengelap lantai rumah dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Anda mempunyai sesuatu untuk saya. Sila nyatakan komen membina anda agar ianya bermanfaat untuk kita semua. Terima kasih.