Langkah yang baik dilakukan oleh kedua-dua negara yang berjiran dalam memastikan prosidur pengambilan pembantu rumah melalui saluran yang betul. Namun demikian, kita sebagai pengguna sudah tentu inginkan kos pengambilan pembantu rumah pada tahap yang munasabah sekiranya kerajaan kedua-dua belah negara inginkan matlamat ini tercapai. Adalah amat dibimbangi jika kos terlalu tinggi akan memungkinkan bakal-bakal majikan pembantu rumah mengambil jalan mudah penuh berisiko dengan menggajikan pembantu rumah yang masuk secara tidak sah ke Malaysia. Keadaan geografi sempadan Malaysia-Indonesia begitu mudah untuk bakal-bakal pembantu rumah menyeberangi Selat Melaka memasuki Malaysia. Jika keadaan ini berlaku, secara tidak langsung ia akan merugikan kerajaan kedua-dua belah negara dari segi ekonomi dan boleh mencetuskan masalah sosial kesan dari lambakan pendatang tanpa izin yang berleluasa. Ikuti petikan dari laman web mStar.
Malaysia, Indonesia Mahu Hanya Satu Saluran Pengambilan Pembantu Rumah
Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2015 12:55 PM di laman web
www.mstar.com.my
PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan hanya satu saluran pengambilan pembantu rumah dari republik itu ke negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata, ini bagi memelihara kepentingan pembantu rumah Indonesia selain membolehkan mereka mendapat latihan yang mencukupi dan diberi perlindungan sewajarnya ketika bekerja di Malaysia.
"Kita dapati pada ini cuma 4,000 lebih saja pembantu rumah yang masuk melalui saluran rasmi, manakala 105,000 menggunakan saluran tidak rasmi.
Pertemuan Dato Seri Najib Tun Razak Dengan Presiden Indonesia |
"Jadi kami berdua bersetuju supaya menteri-menteri berkenaan meneruskan perbincangan supaya wujudkan hanya satu saluran," katanya dalam sidang media bersama dengan Presiden Indonesia Joko Widodo sempena lawatan negara tiga hari pemimpin Indonesia itu di Malaysia di sini, Jumaat.
Tambah Najib, kedua-dua negara mendapati bahawa saluran rasmi yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang ditandatangani di Bali sebelum ini juga tidak digunakan sepenuhnya.
Dalam pada itu, Joko Widodo yang mesra dengan panggilan Jokowi turut menyuarakan pandangan sama dengan Najib berhubung satu saluran khusus untuk urusan pengambilan pembantu rumah warga Indonesia ke negara ini.
"Akan digunakan satu saluran sahaja supaya perlindungan bisa dilakukan bersama-sama," katanya.
Isu pembantu rumah merupakan antara beberapa aspek perbincangan dua hala Najib dan Jokowi dalam pertemuan empat mata di Bangunan Perdana Putra pagi Jumaat yang disusuli mesyuarat dua hala bersama delegasi masing-masing.
MoU yang ditandatangani di Bali pada 2011 itu menyaksikan Indonesia bersetuju menarik balik moratorium penghantaran pembantu rumah ke Malaysia.
Selaras dengan itu, kedua-dua negara juga bersetuju supaya agensi pengambilan pekerja asing dari kedua-dua negara dilibatkan dalam kerjasama formal urusan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia dan sekaligus memenuhi permintaan oleh sejumlah majikan Malaysia.
Dipetik dari : http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2015/02/06/satu-saluran-maid/
No comments:
Post a Comment
Anda mempunyai sesuatu untuk saya. Sila nyatakan komen membina anda agar ianya bermanfaat untuk kita semua. Terima kasih.