Breaking

Wednesday

Isu Bekalan Pekerja Asing

Isu bekalan pekerja asing kini makin diperdebatkan kerana kos pengambilan yang semakin tinggi dan pihak kerajaan pula telah menarik balik kemudahan bagi pihak majikan menguruskan sendiri kemasukan maid tahun pertama.

Ikuti petikan temubual wartawan Berita Harian dengan Menteri Dalam Negeri.

Pembantu Rumah Asing Fobia Layanan Buruk Di Malaysia


ISU kekurangan pembantu rumah asing (PRA) yang didedahkan BH Ahad sejak beberapa siri lalu mendapat perhatian dan pandangan banyak pihak terutama apabila ia turut dikaitkan dengan pertambahan jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi kes PRA melarikan diri. 

Wartawan BH Ahad, MOHD AZIS NGAH mendapatkan pandangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai dakwaan ada agensi yang tidak bertanggungjawab dan Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo pula mendakwa sistem penguatkuasaan lemah dan ada agensi tertentu mengambil kesempatan ke atas majikan yang terdesak. 

Wartawan: Sektor PRA di Malaysia semakin kritikal kerana terlalu bergantung kepada negara sumber utama iaitu Indonesia. Mungkin kementerian ada idea atau pendekatan baharu bagi mengatasi perkara ini? 

Ahmad Zahid: Kita harus mengetahui bahawa permintaan yang ada melebihi penawaran. Penawaran daripada negara sumber khasnya Indonesia atau Kemboja telah disekat. Pembekalan PRA terjejas kerana himpitan masalah ekonomi di negara berkenaan, jadi mereka menghantar pekerja mereka ke negara lain bagi membantu menambah pendapatan keluarga mereka. Banyak pertukaran wang asing berlaku, misalnya Filipina, di mana 30 peratus daripada pertukaran wang asing di negara itu datangnya daripada sektor pembantu rumah. Itu pendapatan negara yang besar. Negara jiran kita sudah mula memperoleh pencapaian ekonomi yang baik. Indonesia sendiri meraih pendapatan negara kasar pada tahap enam peratus. Permintaan dalaman dan kuasa beli tempatan semakin meningkat dan mereka tidak lagi perlu menghantar pekerja mereka ke luar negara.

Kedua, kita menghadapi saingan negara lain. Jika gaji minimum di Malaysia pada kadar RM600 hingga RM900 sebulan, negara lain seperti Hong Kong, Taiwan, negara di Timur Tengah menawarkan gaji dalam nilai mata wang Amerika (AS). Mungkin gaji mereka cuma AS$500 tetapi nilainya dalam Ringgit sudah melebihi RM1,500 sebulan. Jadi, jangan fikir kita akan memperoleh PRA dengan mudah. Ketiganya, disebabkan permintaan melebihi penawaran, kos penghantaran juga meningkat. Agensi PRA mahu mencari keuntungan. Saya dimaklumkan, kos penghantaran seorang PRA dianggarkan antara RM8,000 hingga RM12,000. Tidak ramai keluarga berpendapatan sederhana di Malaysia yang mampu untuk membayar kos setinggi itu. 

S: Ramai yang tidak setuju dengan kos itu kerana terlalu mahal dan PRA juga kerap melarikan diri?
J: Ya, itu belum dikira dengan kos lain apabila PRA melarikan diri. Kalau ada ganti, mesti ada kos tambahan lain. Yang untung ialah agensi kerana ada yang memperdagangkan PRA dengan menjaja PRA di tempat lain dengan kos yang sama. Ini bukan tugas kementerian kerana lesen pengambilan PRA di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia. Jabatan Imigresen cuma mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau JP Visa. Saya tak berhasrat menyalahkan mana-mana kementerian atau jabatan, tetapi faktor ekonomi perlu menjadi faktor yang harus difahami terutama bagi keluarga berpendapatan sederhana bahawa bukan mudah nak dapatkan PRA seperti dulu.
imej pekerja asing
Isu Pekerja Asing (Gambar dipetik dari Berita Harian)

S: Adakah masalah ini kerap dibincangkan pada peringkat Kabinet?
J: Kita ada plaftorm perbincangan di peringkat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pekerja Asing yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia membabitkan 10 kementerian dan agensi berbeza. Perbincangan dengan negara sumber, Indonesia, Filipina, Kemboja, Vietnam pun sudah dilakukan, tetapi mereka seakan-akan fobia terhadap layanan majikan yang diterima rakyat mereka di sini. Kemboja sendiri secara rasmi tidak lepaskan rakyat mereka bekerja di Malaysia. 

S: Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) pernah mencadangkan supaya majikan baharu, khasnya harus diberikan kursus persediaan menerima PRA?
J: Harus ada timbal balas kerana selama ini hanya PRA saja yang menjalani kursus persediaan sebelum datang ke sini. Saya tidak fikir kursus itu lengkap. Mungkin beberapa hari saja atau beberapa jam saja, seolah-olah mereka sudah menjalani latihan selama sebulan sebelum diberikan sijil tamat kursus. Jangkaan majikan itu terlalu tinggi terhadap agensi kerana sudah membayar kos mahal dengan mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada PRA yang datang tetapi apabila PRA yang dihantar lebih teruk daripada sebelumnya, itu tidak menyenangkan majikan. Ada majikan yang setiap minggu bertukar PRA. Semua tindakan PRA salah. tetapi tak pernah salahkan diri, mulut tak jaga. Maki hamun perkara biasa seolah-olah PRA itu hamba abdi kerana mereka sudah membayar kos mahal. Kita harus tukar sikap dalam perkara itu seperti yang diamalkan di negara maju kerana Malaysia juga akan menjadi negara maju. Jadi, kita harus bertukar sikap secara berperingkat sebagai persediaan menghadapi perubahan itu dan menyelesaikan masalah ini. 

S: Jadi, adakah kursus persediaan itu perlu?
J: Kita harus ada projek perintis. Saya tidak fikir ramai yang akan secara sukarela menyertai kursus itu.

S: Komen Datuk Seri mengenai kes PRA yang melarikan diri sekali gus menyumbang kepada peningkatan PATI?
J: Saya berkeyakinan bahawa lebih 90 peratus PATI di Malaysia dulunya masuk ke negara ini melalui dokumen yang sah, tetapi mereka tidak dapat menerima sambungan permit, kerana hampir 90 peratus daripada mereka ditipu agensi. Pihak yang jahat dan yang harus menerima hukuman ialah ejen, sama ada ejen di Malaysia atau ejen di negara sumber. Berdasarkan kajian kementerian melalui bahagian pekerja asing, kita dapati bahawa apabila pemeriksaan dilakukan, majoritinya ada dokumen sah tetapi tidak dilanjutkan permit atau visa ataupun dokumen itu dipegang majikan. Majikan mendakwa dokumen dipegang agensi dan sudah membayar wang untuk lanjutan permit tetapi agensi tidak membayar kepada imigresen dan agensi berkaitan. 

S: Apa saranan kepada majikan?
J: Langkah kita ialah meminta majikan memohon terus kepada kementerian, melalui Jabatan Imigresen, bukannya melalui agensi. Tetapi, sesetengah majikan beranggapan apabila banyak kerenah nak uruskan kemasukan PRA, mereka lebih suka gunakan agensi. Apabila ejen menipu dan mereka rugi, mereka salahkan kerajaan, kenapa tak salahkan agensi?

'Penguatkuasaan mesti cemerlang'

Naja : Ada beberapa laman Web yang salah dalam menghuraikan maksud jawapan menteri di atas yang mengatakan majikan boleh memohon terus kepada kementerian. Yang saya fahami dari temubual ini ialah, kerajaan membenarkan majikan melakukan proses pembaharuan permit tahun kedua dan seterusnya, tanpa menggunakan khidmat agensi. Bagi kes permit tahun pertama, kerajaan melarang sama sekali pengambilan maid secara individu. Urusan kemasukan maid adalah melalui agensi maid berdaftar.

Sila baca posting berikut : http://isupembanturumah.blogspot.com/2013/09/jp-visa-dimansuhkan.html

Wartawan: Bagaimana PAPA melihat perkembangan jumlah pekerja warga asing di Malaysia ketika ini?
Jeffrey Foo: Secara umumnya, sejak awal 1990-an, jumlah pekerja asing pelbagai negara dianggarkan hanya lebih 400,000 orang. Kini dianggarkan lima juta pekerja asing dan mungkin separuh daripadanya pendatang tanpa izin (PATI). Ini suatu yang membimbangkan kerana belum ada penyelesaian. PAPA pernah beri cadangan supaya Malaysia ambil modul negara lain seperti Jepun, Taiwan, Singapura atau Australia mengenai bagaimana cara nak kawal pekerja asing. Kerajaan dan semua pihak mesti ada semangat yang kuat untuk atasi masalah ini. Sistem yang paling bagus memerlukan penguatkuasaan yang cemerlang. 

S: Boleh jelaskan maksud penguatkuasaan yang cemerlang?
J: Maksudnya, tindakan undang-undang mesti dikenakan kepada sesiapa saja. Kepada majikan atau agensi yang tidak bertanggungjawab, bahkan penjawat awam yang ada kaitan dalam urusan berkaitan termasuklah petugas di sempadan negara. Jika buat silap, mereka dikenakan tindakan. Semua pihak mesti ada peranan untuk atasi masalah ini. 

S: Bagaimana dengan isu kemasukan pembantu rumah asing (PRA) yang dikatakan semakin kritikal?
J: Jika dibandingkan tempoh lima tahun dulu, bilangan PRA dianggarkan 380,000 orang. Ketika itu PRA senang dibawa masuk walaupun ada banyak masalah. Kes PRA didera, dieksploitasi atau tidak dibayar gaji menyebabkan Indonesia dan Kemboja membekukan bekalan PRA ke Malaysia. Walaupun Indonesia menarik balik tindakan itu sejak tiga tahun lalu, tetapi wujud masalah baharu apabila pembekal di sana sudah berubah sikap, mahu kaut keuntungan tinggi. Alasannya, jika hantar ke Malaysia, mereka akan dapat untung sedikit berbanding tawaran tinggi di Hong Kong, Taiwan dan negara lain. Dulu, kita bayar kos RM5,000 kepada Indonesia serta tambahan kos kepada majikan dalam lingkungan keseluruhan RM7,000 hingga RM8,000. Tetapi ada pihak di sini mendakwa jumlah itu terlalu tinggi, jadi kita runding untuk tetapkan struktur kos yang kemudian ditetapkan kepada RM4,511.
Kos itu jauh lebih rendah berbanding harga biasa menyebabkan pasaran merudum. Pembekal tidak mahu bekerjasama dan mereka menuntut kenaikan harga dan ramai PRA gagal dibawa masuk. Kita minta kerajaan pinda ke tahap lebih tinggi dan pindaan itu saja ambil masa beberapa tahun hinggalah ditetapkan kepada RM7,800. Masalahnya, pihak di Indonesia pula yang menolak, mereka semakin tamak. Kita ada perjanjian dan tawarkan RM5,000 hingga RM6,000 kepada mereka dan baki RM1,800 dibayar kepada agensi di Malaysia, tetapi mereka tetap menolak dengan alasan kekurangan pekerja. Mereka mahukan harga RM7,800 itu hanya untuk mereka saja. Jadi PAPA tidak galakkan majikan ambil pekerja dari sana kerana kosnya akan mencecah lebih RM10,000. 

S: Tetapi masih ada majikan yang sanggup bayar kos lebih RM12,000 untuk mendapatkan seorang PRA?
J: Ya, ada majikan yang boleh bayar tetapi mereka terpaksa, bukannya mampu, tetapi cukup terdesak dan terpaksa bayar kerana tiada pilihan lain. Agensi yang kaut untung dan majikan terpaksa tanggung beban. Kini, ada lebih 2,000 PRA dibawa masuk selepas pembekuan dari Indonesia ditarik balik tetapi ia sebenarnya tidak mengikut struktur kos yang dipersetujui kedua-dua negara. Mereka dibawa masuk secara sah dan diluluskan, tetapi kesannya, agensi lain yang terkena tempias kerana agensi di Indonesia mula mempersoalkan PAPA kenapa ada agensi yang sanggup bayar lebih RM9,000 tetapi kenapa kita masih nak kekalkan harga lama. Mereka tak mahu hantar bekalan. Punca masalahnya ialah ada agensi di Malaysia yang sanggup menawarkan harga kos tinggi semata-mata mahu dapat untung lebih. 

S: Adakah mereka agensi berdaftar atau haram?
J: Mereka agensi sah tetapi buat kerja haram 'di belakang' kerana mahu kaut untung. Bukan soal majikan mampu bayar atau tidak kerana ia sebenarnya tidak adil kepada majikan. Saya bimbang trend ini akan berlanjutan jika kerajaan Malaysia dan Indonesia tidak bersemangat mahu sempurnakan isi kandungan perjanjian persefahaman (MoU). Tiada banyak penguatkuasaan hingga PRA yang dibawa masuk pun tidak dilatih dan timbul masalah sama sejak dulu. Banyak aduan yang diterima majikan Malaysia. Ini baharu soal 2,000 PRA yang dibawa masuk secara sah. 

S: Kenapa perkara ini berlaku dan benarkah ada agensi yang melihat permintaan terhadap PRA yang tinggi sebagai peluang terbaik menangguk di air keruh?
J: Permintaan di sini memang tinggi. Kini dianggarkan 30,000 hingga 40,000 permohonan baharu yang diterima. Kita pun tak berani nak terima sebab masalah bekalan tidak mencukupi. Masalah lain, banyak pihak ambil langkah bawa masuk pekerja guna kuota pelancong untuk bekerja sebagai PRA tetapi pekerja ini tidak pernah menerima latihan, berpenyakit dan tiada latar belakang pembantu rumah. Mereka masuk melalui JP Visa dan dapat kelulusan permit kerja. Itu tiada masalah tetapi isunya ada pihak atau sindiket ambil kesempatan nak kaut untung. JP Visa itu hanya untuk VIP saja, tetapi sekarang ada lebih 100,000 pekerja sudah dibawa masuk melalui saluran itu. 

S: Mungkin itu juga punca kes PRA lari yang menambah jumlah PATI sedia ada di Malaysia?
J: Ya, mereka juga penyumbang kepada pertambahan PATI kerana golongan ini tidak dikawal. Mereka tiada agensi yang bertanggungjawab dan menimbulkan banyak masalah. Majoriti majikan di Malaysia bukan beragama Islam, mungkin mereka ada hubungan keluarga di negara sumber dan bawa masuk sendiri. Jika kita sayangkan negara, kita tak buat sesuatu yang mengancam keselamatan negara sendiri. Banyak yang tidak betul dan kita perlukan satu sistem dan peraturan baharu yang boleh digunakan untuk menguruskan pekerja asing terutama PRA. Kita sudah minta kerajaan kaji kelulusan untuk dapatkan bekalan PRA dari Nepal (PRA bukan Islam) dan Bangladesh (PRA Islam). 

S: Adakah PRA itu juga berpotensi menimbulkan masalah?
J: Ya, sebab tiada langkah nak semak siapa mereka sebenarnya. Mungkin ada berlatar belakang mencuri atau salah laku moral seperti pelacur dan dibawa masuk ke sini. Ini tanggungjawab bersama agensi di Indonesia atau negara sumber. Kita mesti wujudkan situasi menang-menang. Mesti tahu bagaimana nak uruskan dengan baik kerana ketika ini ada lebih lima juta pekerja asing di Malaysia.



No comments:

Post a Comment

Anda mempunyai sesuatu untuk saya. Sila nyatakan komen membina anda agar ianya bermanfaat untuk kita semua. Terima kasih.